KUCHING: Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) perlu memperbaiki sepenuhnya keadaan parti itu bagi memastikan ia terus relevan untuk masyarakat Cina.
Ketua Setiausaha Politik Ketua Menteri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata kemerosotan sokongan masyarakat Cina terhadap SUPP adalah disebabkan parti itu sendiri dan tiada kaitan dengan polisi Barisan Nasional (BN).
“David Teng masih lagi dalam ‘Sleeping Mode’ dan tidak dapat melihat masalah keseluruhan parti itu yang perlu di’overhaul’ dan ia tiada kena mengena dengan polisi BN,” katanya.
Beliau menambah, bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repok itu sepatutnya mencerminkan diri dengan mengetepikan ‘sindrom penafian’ dan membuat lebih banyak penilaian terhadap dirinya sendiri sebelum menyalahkan orang lain.
Beliau juga bersetuju bahawa sekiranya ada kelemahan, rakyat sudah matang untuk menilai dan membuat keputusan mereka sendiri berhubung kelemahan, tidak mengira sama ada isu tersebut melibatkan BN ataupun pembangkang.
“Sekiranya mereka menolak SUPP kerana kelemahan polisi BN, mengapa pula Parti Pesaka Bumiputera (PBB) dan parti komponen lain mampu memenangi semua kerusi pada pilihan raya yang lepas,” katanya.
David Teng dipetik dalam satu kenyataan akhbar tempatan berkata masyarakat Cina yang disifatkannya sebagai ‘pintar, elastik dan realistik’ akan memalukan BN sekali lagi jika kerajaan tidak mengadaptasi perubahan dan mengkaji semula beberapa dasar.
Karim berkata, sebagai bendahari parti, Teng tidak seharusnya memandang rendah dan mencemuh mentaliti pengundi.
Karim berpendapat masyarakat Cina tidak mengundi SUPP pada pilihan raya negeri yang lalu kerana mereka melihat pemimpin dalam SUPP seperti David Teng tiada harapan dan tidak boleh memimpin dan bukan penyelamat mereka.
“Saya berharap David boleh berfikir bagaimana SUPP telah berpecah dan apa peranannya untuk menyatukan atau terus memburukkan keadaan.
“Rakyat sudah bosan dengan semua ini, disebabkan itu mereka beralih kepada yang muda dan bertenaga,” katanya.
No comments:
Post a Comment