Friday 15 December 2017

Karim bertanding Naib Presiden PBB?

December 15, 2017

KUCHING: Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah sekadar berteka-teki mengenai jawatan yang akan ditandinginya pada Perhimpunan Agung Tritahunan (TGM) Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB).

Beliau yang kini merupakan ahli Majlis Tertinggi PBB dan ketua Cawangan PBB Asajaya cuma mengesahkan beliau akan bertanding antara jawatan ahli majlis tertinggi dan naib presiden.

“Masih agak awal untuk memberitahu kepada anda (wartawan) jawatan mana yang akan saya tandingi. Lebih elok kita tunggu dan lihat dahulu,” katanya yang enggan mengulas lanjut ketika ditemui pada satu majlis di sini, semalam.

PBB akan mengadakan TGM pada 8 hingga 12 Februari 2018 di sini.

Pada masa ini, PBB dalam proses pemilihan peringkat cawangan dan perlu diselesaikan sebelum 31 Disember ini.

PBB yang merupakan parti terbesar dalam komponen Barisan Nasional (BN) Sarawak memiliki 82 cawangan di semua kawasan Dewan Undangan Negeri.

Datuk Patinggi Abang Johari Tun Abang Openg secara automatik sebagai Ketua Menteri, merupakan presiden PBB selepas Pehin Sri Adenan Satem meninggal dunia pada Januari tahun ini.

Manakala Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan kini merupakan pemangku timbalan presiden, masing-masing bagi mengisi kekosongan Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu Numpang dan Abang Johari.

Jabu mengumumkan pengundurannya pada Januari tahun ini bagi memberi laluan kepada Uggah.

Ini bermakna wujud kekosongan jawatan peringkat tinggi apabila Awang Tengah dan Uggah disahkan ke jawatan dipangku mereka sekarang apabila TGM diadakan kelak.

Selain jawatan tertinggi di atas, kepimpinan PBB antara lain turut dibarisi dua naib presiden kanan orang, tujuh naib presiden, setiausaha agung, bendahari dan ketua penerangan.

No comments:

Post a Comment