Friday 17 November 2017

Chong tarik balik dakwaan terhadap Morshidi ekoran usul dibentang Karim

November 17, 2017

KUCHING: Chong Chieng Jen (DAP-Kota Sentosa) semalam menarik balik dakwaan ke atas Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak Tan Sri Datuk Amar Mohamad Morshidi Abdul Ghani ekoran satu usul dibentangkan Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah.

Karim membentangkan usul meminta Dewan menggantung Chong daripada menghadiri Persidangan DUN yang berbaki sehari, selepas pengerusi DAP Sarawak itu menggunakan perkataan ‘imbuhan’ (gratification) di dalam Dewan ke atas Morshidi.

“Saya menarik balik perkataan ‘imbuhan’ tetapi persoalannya ialah semua permohonan untuk status ‘penduduk tetap’ masih di atas meja setiausaha kerajaan negeri, kekal,” katanya ketika menjawab Speaker DUN Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar yang memintanya menarik balik perkataan itu.

Semasa menyampaikan ucapan membahas Bajet Negeri 2018 pada 10 November lalu, Chong mendakwa Setiausaha Kerajaan Negeri gagal meluluskan permohonan untuk mendapatkan status penduduk tetap di Sarawak.

Beliau berkata: “Saya hairan apa yang dilakukan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri. Kenapa beliau terus meletakkan permohonan daripada pemohon untuk status penduduk tetap di atas meja di pejabatnya. Adakah beliau menunggu untuk pemohon memberi ‘imbuhan’ kepadanya untuk apa yang seharusnya beliau lakukan?”.

Karim yang juga ADUN Asajaya ketika membaca usul itu, berkata perkataan imbuhan digunakan dalam undang-undang jenayah Malaysia termasuk Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 (Akta 694) dan Kanun Keseksaan untuk menjelaskan tindakan tidak jujur dan penyalahgunaan kuasa.

Usul Karim itu disokong Menteri Muda Hal Ehwal Korporat Abdullah Saidol.

Sehubungan itu, Chong bersetuju menarik balik perkataan ‘imbuhan’ digunakan dan speaker membuat keputusan beliau (Chong) akan menghadiri hari terakhir Persidangan DUN hari ini.

No comments:

Post a Comment