Tuesday 25 October 2016

Kejayaan terbukti


BANGGA: Abdul Karim bercakap kepada media selepas merasmikan penutupan Kejohanan Terjun Siri Grand Prix Dunia Persekutuan Renang Antarabangsa (FINA) di Kuching kelmarin.
Lebih banyak kejohanan sukan taraf antarabangsa akan dianjurkan di negeri ini, tegas Abdul Karim

KUCHING: Kerajaan Negeri akan terus berusaha membawa masuk lebih banyak kejohanan bertaraf antarabangsa untuk dianjurkan di Sarawak, kata Menteri Muda Belia dan Sukan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah.

Menurutnya, penganjuran Kejohanan Terjun Siri Grand Prix Dunia Persekutuan Renang Antarabangsa (FINA) berakhir kelmarin membuktikan kejayaan Sarawak dalam bekerjasama melaksanakan kejohanan bertaraf dunia.

"Kita berjaya menamatkan saingan kejohanan terjun FINA dengan kerjasama Persatuan Renang Amatur Malaysia (ASUM) dan Persatuan Renang Amatur Sarawak (ASAS)," katanya pada majlis penutupan kejohanan itu di sini kelmarin.

Justeru itu, Abdul Karim berharap kejohanan serupa dapat diadakan semula di Sarawak.

Mengulas berhubung peruntukkan RM1.2 billion untuk sukan dalam pembentangan Bajet 2017, beliau berkata ia akan digunakan untuk menganjurkan Sukan SEA dan Sukan Para Asean Ke-9 serta tujuan promosi sukan.

Katanya, lebih RM400 juta telah diperuntukkan untuk tujuan itu dan beliau akan memastikan ia turut disalurkan kepada Sarawak.

"Kita akan sentiasa berusaha untuk menarik kemasukkan penganjuran sukan antarabangsa di negeri ini," katanya.

Sehubungan itu, beliau mendedahkan kejohanan badminton Malaysian Masters akan diadakan di Sibu pada Januari tahun depan dan perkara itu telah disahkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

Menjelaskan perkara itu, Abdul Karim berkata penganjuran itu bakal menarik ramai pemain terkemuka seluruh dunia untuk menyertai kejohanan berprestij itu.

"Selain mempertingkat kemudahan sukan, kita jua mahu memperkenalkan Sarawak di mata dunia walaupun venue Sukan SEA telah diputuskan namum kita akan terus membawa beberapa acara untuk diadakan di Sarawak.

"Selepas Sukan malaysia (SUKMA) lalu, kita mempunyai beberapa venue yang menepati piawaian antarabangsa," katanya.

Abdul Karim berkata meskipun Sukan SEA tidak diadakan di Sarawak namun pihaknya terus menganjurkan kejohanan peringkat antarabangsa mahupun kebangsaan di negeri ini.
  

No comments:

Post a Comment