Tuesday 25 October 2016

Karim sokong bentang usul tuntutan hak Sarawak


KUCHING: Pemimpin Barisan Nasional (BN) Negeri menyokong penuh cadangan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem untuk membentangkan usul berhubung tuntutan semula hak Sarawak pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) bulan depan.

Sokongan tersebut dinyatakan oleh Ahli Majlis Tertinggi PBB Datuk Abdul Karim Rahman hamzah yang juga Menteri Muda Belia dan Sukan dan Menteri Muda Perumahan serta ADUN Asajaya.

Menurut Karim, Malaysia ditubuhkan berlandaskan perjanjian-perjanjian dan laporan dan semua pihak perlu menghormati perjanjian awal ini.

"Meskipun kita kini sudah ada Perlembagaan Malaysia tetapi ia tidak bermaksud semua dokumen yang ditandatangani untuk penubuhan Malaysia adalah tidak penting dan tidak relevan seperti yang disuarakan oleh seorang profesor baru-baru ini.

"Itu adalah satu pandangan yang salah dan kemungkinan profesor tersebut perlu menyemak balik sejarah dan bahan rujukan beliau agar dapat faham apa sebenarnya yang diniatkan oleh pemimpin kita ketika menandatangani MA63 pada masa itu," katanya ketika dihubungi semalam.

Tambah Karim, banyak hak Sarawak terhakis dari tahun ke tahun dan perkara ini perlu diperbetulkan.

Sebab itu, Ketua Menteri mahu membentangkan usul ini pada Persidangan DUN bulan depan sebelum dikemukan kepada kerajaan pusat, katanya lagi.

Adenan dilaporkan berkata kerajaan negeri akan membentangkan usul berhubung tuntutan semula hak Sarawak pada sidang DUN bulan depan.

Usul tersebut secara spesifik akan menumpukan kepaa keperluan untuk kerajaan persekutuan memenuhi hak-hak Ssarawak seperti termaktub dalam Perjanjian malaysia 1963 (MA63), Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC) 1963 dan Laporan Suruhanjaya Cobbold 1962.

Usul akan dibentangkan oleh seorang daripada menteri negeri, kata Adenan selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Tiga Tahun Sekali (TDC) Parti Rakyat Sarawak (PRS) Keempat kelmarin di Bintulu.

No comments:

Post a Comment