Thursday 21 July 2016

Harus miliki mentaliti seorang juara

July 21, 2016

BUAT YANG TERBAIK: Abdul Karim (tengah) diapit Fazzrudin (kanan) dan Yusnar bergambar bersama jurulatih, pegawai dan pesilat pada majlis berkenaan.
Karim mahu atlet Sarawak sentiasa tetapkan sasaran tinggi untuk capai kejayaan

KUCHING: Atlet Sarawak diingat agar sentiasa meletakkan sasaran yang tinggi dalam pemburuan pingat pada SUKMA Ke- 18 yang sedang rancak berlangsung.

Ketua Kontinjen Sarawak, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah menegaskan adalah penting bagi semua atlet negeri mempunyai mentaliti seorang juara dan tidak gentar menghadapi apa jua rintangan.

“Kalau kita hanya menyasarkan pingat gangsa, maka sukarlah untuk mendapatkan perak ataupun emas.

“Sebaliknya, kita perlu sentiasa menetapkan sasaran yang lebih tinggi kerana hanya dengan berfikiran demikian kita dapat mencapai kejayaan,” katanya pada majlis penyerahan bendera kontinjen silat Sarawak bertempat di UNIMAS kelmarin.

Beliau yang juga Menteri Muda Belia dan Sukan menyeru pesilat Sarawak agar tidak berasa rendah diri apabila berdepan atlet yang mempunyai pencapaian lebih tinggi.

Menurutnya, apa yang penting adalah atlet mempunyai semangat melawan dan berkeyakinan tinggi ketika berdepan mana-mana lawan.

“Jangan melihat lawan itu sebagai rintangan tetapi fikir bahawa kita boleh mengalahkan mereka.

“Kalau atlet mempunyai semangat kental seperti itu, saya percaya anda tidak akan menghadapi masalah untuk menewaskan siapa saja,” katanya lagi.

Jelas Abdul Karim lagi, atlet seharusnya menggunakan sepenuhnya peluang beraksi di tempat sendiri untuk mendapatkan keputusan yang baik.

Sementara itu, Penolong Ketua Kontinjen Fazzrudin Abdul Rahman yang hadir sama pada majlis berkenaan yakin pesilat Sarawak dapat mencapai sasaran lima pingat emas yang ditetapkan.

Beliau juga menyeru pesilat agar beraksi sebaik mungkin disertai semangat yang tinggi untuk memburu sasaran tersebut.

Turut hadir Pengurus Pasukan Datuk Mohamad Yusnar Matalie.

Acara pencak silat akan berlangsung dari 22 hingga 29 Julai di Stadium Tertutup Kota Samarahan.
  

No comments:

Post a Comment