Thursday 5 May 2016

Proses pengeluaran geran hak milik tanah berterusan

May 5, 2016

GEMBIRA: Pemilik-pemilik tanah menunjukkan geran hak milik tanah

KUCHING: Proses pengeluaran geran hak milik tanah di bawah Seksyen 18 Kanun Tanah Negeri oleh Jabatan Tanah dan Survei (JTS) akan dijalankan secara berterusan di bahagian Samarahan.

Bekas Menteri Pembangunan Belia (Bandar) Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata demikian kerana baru-baru ini telah dimaklumkan bahawa kerja menyukat tanah milik kampung tradisi sudah dijalankan sekian lama.


“Saya difahamkan sudah ada banyak kampung yang telah disukat tapi masih lagi dalam proses pengeluaran geran hak milik dan ia akan dijalankan secara berterusan.

“Tetapi ia bukan dibuat sewaktu pilihan raya sahaja kerana pada minggu lepas sebelum penamaaan calon saya sendiri telah menyerahkan 500 geran hak milik tanah untuk penduduk di kawasan ini,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Penyampaian Surat Hak Milik Tanah Seksyen 18 Kanun Tanah Negeri (Kampung Tradisi) Bahagian Samarahan di sini, semalam.


Bagaimanapun, beliau mencadangkan sekiranya Jabatan Tanah dan Survei perlu menambah kakitangannya yang sememangnya sudah sedia ada proaktif.

Karim berkata JTS kini berupaya membuat pindah milik tanah dalam masa sehari berbanding di Semenanjung Malaysia yang memakan masa sekurang-kurangnya tiga bulan.

Menurutnya, sehingga kini JTS telah meluluskan permohonan daripada 282 kampung melibatkan 35,860 geran hak milik tanah di bawah Seksyen 18 Kanun Tanah Negeri telah dikeluarkan di seluruh negeri.

Sementara itu, bagi bahagian Samarahan telah meluluskan penyukatan tanah sebanyak 40 kampung iaitu 5,616 unit rumah dengan 5,147 geran hak milik tanah di bawah Seksyen 18 Kanun Tanah Negeri dikeluarkan.

Semalam beliau sendiri telah menyampaikan sebanyak 102 surat hak milik yang diserahkan kepada 101 penerima dari Kampung Empila di Dewan Suarah Samarahan.

Akan tetapi beliau turut menasihati agar pemberian geran hak milik tanah tersebut tidak disalah guna oleh rakyat atas tujuan yang kurang memberi manfaat.

“Pinjam dengan peminjam wang berlaku di mana-mana sahaja sama ada Kuching atau Samarahan tetapi apa yang kita tahu pemberi pinjaman atau ‘along’ mereka tidak akan memberi pinjaman kecuali sekiranya ada jaminan seperti geran tanah, emas dan sebagainya.

“Inilah kelemahan yang kita khuatir kepada pemegang geran tanah yang tidak dapat menahan kemahuan mereka untuk mendapat duit segera dengan memajak kepada ‘along’ bagi membeli kereta atau motosikal dan sebagainya,” tegas beliau.

Beliau bagaimanapun enggan memberi komen sekiranya isu terbabit serius di kawasan Samarahan tetapi mendedahkan bahawa beliau sering mendengar kes sedemikian berlaku.

No comments:

Post a Comment