Friday 28 August 2015

Jangan tanam sikap tak acuh terhadap aktiviti pembelajaran

Ogos 28, 2015


RESTASI CEMERLANG: Pelajar-pelajar kebanggaan SMK Asajaya bergambar bersama-sama Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah.

ASAJAYA: Ibubapa diseru agar tidak menyemai semangat tidak acuh terhadap aktiviti pembelajaran di sekolah dalam diri anak-anak mereka.

Menteri Muda Perumahan dan Belia Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah, ketika merasmikan Majlis Kesyukuran Pelajar-Pelajar PPU dan SPM 2014 Melanjutkan Pelajaran Ke Universiti di SMK Asajaya hari ini, berkata sebaliknya semangat yang harus disemai ialah semangat juang yang tinggi untuk berjaya dalam pendidikan.

Beliau berkata walaupun secara amnya, rata-rata ahli masyarakat di Asajaya termasuk dalam golongan tidak berada, ini tidak membawa maksud tiada apa yang mampu dilakukan untuk mengubah masa hadapan keluarga masing-masing.

Abdul Karim berkata ada ramai anak-anak Asajaya yang telah berjaya mengubah hidup mereka melalui kejayaan dalam mendapatkan kelulusan yang tinggi dalam akademik.

Antara lain, ujar beliau, Ahli Parlimen Kota Samarahan Rubiah Wang adalah contoh anak jati Asajaya yang telah berjaya mengubah nasib keluarganya melalui pencapaian akademik yang cemerlang.

Abdul Karim, yang juga merupakan ADUN Asajaya, berkata Rubiah telah menjawat jawatan yang tinggi dalam sistem pentadbiran tempatan sebelum menjadi wakil rakyat.



Beliau kemudiannya berkata ibubapa dalam kawasan Asajaya sebenarnya mempunyai banyak pilihan keatas anak-anak jati Asajaya yang boleh dijadikan contoh bagi tujuan meningkatkan semangat juang dalam diri anak-anak mereka untuk mendapatkan prestasi yang cemerlang dalam akademik.

Tambahan pula, ujar beliau lagi, kemudahan untuk mendapatkan dan melanjutkan pelajaran diperingkat yang tinggi banyak disediakan oleh Kerajaan Barisan Nasional.

Beliau berkata perkara sebaliknya berlaku beberapa dekad yang lalu apabila ramai anak-anak berhadapan dengan kesukaran untuk belajar di sekolah kerana lokasi sekolah-sekolah yang begitu jauh dari rumah mereka.

Abdul Karim berkata sejak beliau menjadi ADUN Asajaya, beliau memang prihatin dengan prestasi akademik anak-anak muda dalam kawasan Asajaya.

Bahkan, menurut beliau lagi, beliau tidak ragu-ragu untuk menegur pihak pentadbir sekolah sekiranya berlaku prestasi akademik yang statik ataupun merosot.

Menyentuh mengenai kejayaan 44 pelajar SMK Asajaya melanjutkan pelajaran di peringkat menara gading, Menteri Muda Perumahan dan Belia berkata beliau merasa amat bangga dengan pencapaian SMK Asajaya walaupun dari segi keadaan fizikal sekolah tersebut agak mundur berbanding dengan sekolah-sekolah yang gagal menyaingi prestasi akademiknya.

Abdul Karim kemudiannya memuji barisan pentadbir SMK Asajaya kerana mampu membimbing para pelajar sehingga ada diantara mereka berjaya untuk melanjutkan pelajaran diperingkat yang lebih tinggi.

ADUN Asajaya turut mengucapkan tahniah kepada ibubapa diatas kejayaan anak-anak mereka.


Ketika majlis sedang berlangsung



Upacara Penyampaian Insentif Kepada Pelajar Cemerlang



Pameran Kesenian Oleh Pelajar Tingkatan 6 (PPU)

KEBEBASAN: Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah melepaskan burung merpati sebelum menyaksikan pameran kesenian
SIMBOLIK: Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah memotong riben sebagai tanda simbolik perasmian pameran kesenian
Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah menandatangani plak perasmian pameran kesenian
Pelukis lukisan cenderamata untuk Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah menandatangani lukisannya
CENDERAMATA: Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah menerima lukisan sebagai cenderamata dari pelajar Tingkatan 6

No comments:

Post a Comment