Sunday 26 April 2015

Persatuan belia perlu telus manfaat dana

April 26, 2015


Peruntukan bagi aktiviti perlu diurus dengan bijak dan penuh tanggungjawab: Karim

KUCHING: Badan dan persatuan belia diingat amanah dan bertanggungjawab menggunakan dana yang diperuntuk untuk aktiviti persatuan masing-masing.

Menteri Muda Pembangunan Belia (Bandar) Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, dalam setiap organisasi atau badan mahupun persatuan, masalah pertama perlu dihadapi ialah pengurusan kewangan.

“Ia bukan perkara mudah. Di sinilah kita mahu menasihat badan dan persatuan belia supaya lebih bijak mengurus kewangan termasuk mencari bantuan menganjur sebarang aktiviti,” katanya.

Beliau berkata demikian berucap merasmikan Persidangan Majlis Perundingan Belia Negara Peringkat Negeri 2015 anjuran Jabatan Belia dan Sukan Negeri dihadiri Pengarah Jabatannya Abd Haris Ishak di sini, semalam.

Menurut Abdul Karim, tidak dinafikan terdapat persatuan dan badan tertentu mengguna peruntukan atau dana diberi bagi tujuan lain, bukan berasas aktiviti disasarkan.

“Kadangkala ada memohon peruntukan menganjur aktiviti, namun setahun selepas itu sebaliknya berlaku, duit digunakan ke lain.

“Kerajaan akan mempertimbang atau melulus permohonan peruntukan jika mereka membuat kertas kerja dilihat munasabah dan masuk akal,” katanya.

Menteri Muda Perumahan itu berkata, belia sebagai pemimpin akan datang harus menjalankan tugas dengan penuh tanggungjawab, bukannya suka memenuh poket sendiri.

Sementara itu Abd Haris dalam ucapannya berkata, jabatan berharap kerajaan mempertimbang mewujudkan Majlis Belia Negeri seperti mana negeri lain di Malaysia supaya mampu membangunkan belia di negeri agar lebih teratur dan tidak ketinggalan.

“Di Sarawak kita tidak ada Majlis Belia Negeri berbanding negeri lain di Semenanjung Malaysia. Dengan kewujudan majlis ini, ia menjadi satu persatuan bersama-sama membangunkan belia Sarawak sehingga peringkat kebangsaan,” katanya.

Menurut beliau, setiap majlis belia diperuntuk dana oleh kerajaan pusat iaitu sebanyak RM100,000 bagi peringkat negeri dan RM50,000 peringkat daerah.

Mengenai persidangan majlis perundingan belia negara, Abd Haris berkata, ia bertujuan mempertingkat pelaksanaan program pembangunan kepimpinan dan pengurusan organisasi.

Selain itu ia membincangkan isu dan masalah dihadapi dalam proses pembangunan belia pada semua peringkat serta meneroka dimensi baharu dalam agenda pembangunan belia selaras senario perubahan semasa.

Persidangan sehari itu turut membincangkan isu berkaitan pendidikan, sosial atau pekerjaan dan ekonomi yang turut diwakili 20 persatuan belia dan 13 persatuan sukan.
  

No comments:

Post a Comment