Friday 24 April 2015

Aktiviti mampu beri impak besar, penyertaan ramai diutamakan




Berikutan sumber kewangan terhad, permohonan bantuan kewangan dipertimbang berdasarkan kriteria tertentu

KUCHING: Memandangkan sumber kewangan yang amat terhad, Kementerian Pembangunan Sosial hanya memberi keutamaan kepada aktiviti yang mampu memberi impak besar serta penyertaan golongan belia yang lebih ramai.

Menteri Muda Pembangunan Belia (Bandar) Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata permohonan bantuan kewangan yang layak diberi pertimbangan adalah berdasarkan kriteria seperti badan sukan yang berdaftar di bawah Akta Pembangunan Sukan 1997 serta pertubuhan belia yang berdaftar di bawah Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia 2007.

Selain itu, katanya adalah Sekretariat Rakan Muda di Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Institut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) yang berdaftar dengan Jabatan belia dan Sukan Negara serta NGO yang ditubuhkan di bawah Akta Parlimen dan bergabung dengan Majlis Belia Malaysia (MBM).

“Aktiviti yang dilaksanakan hendaklah selaras dengan Dasar Pembangunan Belia Negara atau Dasar Sukan Negara, memberi impak positif kepada kumpulan sasar serta menggabungkan nilai integrasi dan perpaduan kaum.

“Aktiviti juga harus berkonsepkan kepimpinan, jati diri, patriotisme, ketatanegaraan, kemahiran, keusahawanan, kesukarelaan dan kesukanan.

“Bagi bantuan aktiviti yang dijalankan bersama NGO, keutamaan diberikan kepada NGO yang mempunyai kepakaran pengurusan, kepimpinan, kejurulatihan dan kemahiran teknikal dalam bidang berkaitan,” katanya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, semalam.

Karim yang juga ADUN Asajaya menyatakan demikian bagi menjawab soalan Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali (BN-Samariang) yang bertanya tentang kaedah-kaedah yang diguna pakai dan apakah bantuan kewangan untuk belia menjalankan aktiviti yang mereka rancang secara berkumpulan.


Menjelas lanjut, Karim berkata permohonan bantuan kewangan mestilah dibuat secara manual dengan mengepilkan bersama kertas kerja bagi aktiviti yang dicadangkan, Perlembagaan Pertubuhan/Badan Sukan (permohonan kali pertama sahaja atau jika terdapat pindaan), sijil pendaftaran persatuan, laporan tahunan terkini, penyata kewa-ngan tahun terkini, laporan pelaksanaan aktiviti bagi permohonan bantuan yang telah diluluskan sebelum ini serta nombor akaun semasa bank/penyata akaun semasa bank terkini yang telah disahkan.

“Permohonan hendaklah dikemukakan sekurang-kurangnya 60 hari sebelum pelaksanaan program.

“Permohonan yang tidak lengkap tidak akan dipertimbangkan,” katanya.

Bagi permohonan ke Jabatan Belia dan Sukan Negeri Sarawak (JBSN), Karim berkata kaedah yang diguna pakai untuk para belia mendapatkan bantuan kewangan adalah menerusi bantuan pentadbiran dan bantuan aktiviti.

Katanya bantuan pentadbiran adalah bertujuan membantu membiayai sebahagian daripada kos pengurusan pejabat, elaun, utiliti dan sewaan pejabat bagi Majlis Belia Malaysia, Majlis Belia Negeri dan Majlis Belia Daerah serta Pertubuhan Gabungan Majlis Belia Malaysia yang tertakluk kepada Prosedur Operasi Standard (SOP).

Manakala bantuan aktiviti, katanya bertujuan membiayai sepenuhnya atau sebahagian daripada kos pelaksanaan aktiviti yang dijalankan oleh NGO iaitu aktiviti yang dilaksanakan oleh JBSN dan NGO serta aktiviti yang dilaksanakan oleh NGO.
  

No comments:

Post a Comment