Saturday 18 October 2014

Spekulasi harga rumah naik, orang ramai diseru bijak buat keputusan


KUCHING: Kementerian Perumahan Sarawak mengambil kira kebimbangan mengenai pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) pada 1 April 2015, selepas pihak tertentu dalam sektor perumahan tempatan membuat spekulasi bahawa harga rumah akan naik dan menasihatkan orang ramai untuk membeli rumah sekarang sebelum GST dilaksanakan.

Sehubungan itu, Menteri Muda Perumahan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah menasihatkan orang ramai yang ingin membeli rumah agar berhati-hati dalam membuat keputusan ekoran kenyataan sedemikian.

Ini kerana, katanya, peningkatan permintaan yang mendadak bagi rumah sebelum pelaksanaan GST boleh juga menyebabkan harga rumah terus naik sedangkan impak GST ke atas harga rumah masih belum diketahui.

“Orang ramai perlu memahami bagaimana GST berfungsi sebelum membuat keputusan membeli rumah sebelum 1 April atau selepas GST dilaksanakan,” katanya menerusi satu kenyataan, kelmarin.

Menurut Karim, orang ramai harus faham bahawa rumah adalah dikecualikan daripada GST tetapi input, bahan dan perkhidmatan untuk membina rumah tertakluk kepada GST sebanyak enam peratus.

Beliau menambah, orang ramai juga harus maklum tanah untuk perumahan dan kos pembiayaan dikecualikan daripada cukai.

Selain itu, katanya, beberapa bahan binaan seperti jubin, perkakasan sanitari dan pemasangan pada waktu ini tertakluk kepada cukai jualan 10 peratus.

“Dengan pelaksanaan GST, bahan-bahan ini akan dikenakan cukai pada kadar yang lebih rendah iaitu 6 peratus.

“Maka itu, impak GST ke atas harga rumah masih belum pasti dan tidak semestinya menyebabkan kenaikan harga,” katanya.

Karim turut mengambil contoh situasi di Australia ketika GST diperkenalkan pada 2000, di mana orang bergegas untuk membeli hartanah dan pemaju bergegas untuk menyiapkan projek mereka kerana menyangka harga akan naik selepas pelaksanaan GST.

Menurutnya, disebabkan oleh peningkatan permintaan yang mendadak itu, pemaju akhirnya membayar harga lebih tinggi untuk bahan dan perkhidmatan dan kos ini telah disalurkan kepada pembeli dalam bentuk harga hartanah yang lebih tinggi.

Bagaimanapun, katanya, enam sehingga sembilan bulan selepas GST dilaksanakan, harga hartanah turun disebabkan oleh pasaran hartanah yang sederhana.

“Justeru, pembeli rumah dinasihatkan untuk berhati-hati dan membuat penyelidikan terlebih dahulu sebelum membuat keputusan sama ada membeli rumah sebelum atau selepas pelaksanaan GST.

“Pemaju perumahan tempatan juga digesa untuk memainkan peranan secara positif dengan tidak mengambil kesempatan daripada situasi ini tetapi cuba mengurangkan kesan dengan cara yang seimbang,” kata Karim.

No comments:

Post a Comment